Bagaimanakah HIV tidak boleh dijangkiti?
- HIV tidak dapat hidup di luar tubuh manusia.
- HIV tidak boleh berjangkit melalui air peluh, air kencing atau air mata.
- HIV tidak boleh berjangkit menerusi kulit yang sihat ataupun melalui udara.
- HIV tidak boleh hidup di luar badan manusia seperti di atas kulit atau pakaian, dalam air atau udara.
- HIV tidak boleh dijangkiti melalui:
- Pendermaan darah kerana peralatan yang digunakan untuk mengambil darah tersebut adalah disteril dan hanya digunakan sekali sahaja.
- Proses pemindahan darah kerana pada masa sekarang, semua darah yang didermakan di Malaysia telah disaring untuk mengesan kehadiran antibodi HIV. Antibodi HIV adalah bahan yang dihasilkan oleh tubuh mereka yang dijangkiti sebagai tindak balas terhadap jangkitan virus HIV.
- Berjabat tangan, berpelukan, bersentuhan, melancap dan berciuman ringan.
- Berkongsi telefon, kolam renang dan tandas awam.
- Berkongsi makanan.
- Menggunakan pinggan, sudu dan gelas yang digunakan oleh pesakit HIV kerana virus HIV tidak boleh hidup lama di luar tubuh manusia. Peralatan tersebut apabila dibasuh seperti biasa akan membunuh virus HIV.
- Berkongsi tempat tinggal, bekerja bersama, belajar bersama atau berkongsi tempat tidur.
- Bersin, batuk, air peluh atau air kencing.
- Gigitan serangga (termasuk gigitan nyamuk) atau binatang.
- Menjaga seseorang yang positif HIV.
Apakah tanda-tanda atau simptom-simptom jangkitan HIV?
Permulaan jangkitan HIV biasanya tidak menunjukkan sebarang tanda. Sebilangan pesakit mengalami gejala-gejala berikut dalam masa 2-6 minggu selepas dijangkiti HIV seperti demam, selesema, sakit tekak, batuk, sakit otot, sakit kepala, cirit-birit, bengkak kelenjar limfa, letih, ruam, sakit sendi atau turun berat badan tetapi ini berlainan dari seseorang ke seseorang yang lain. Tanda-tanda awal ini boleh sembuh dalam beberapa hari. Penyakit-penyakit ringan seperti ini juga mungkin bukan disebabkan HIV tetapi akibat jangkitan virus yang lain. Oleh kerana tanda-tanda ini boleh sembuh seperti biasa, is sering disangka sakit biasa.
Ada juga kesan yang dipanggil
asymptomatic, iaitu tidak menunjukkan apa-apa tanda sama sekali, yang
mungkin mengambil masa beberapa tahun tanpa diketahui sehinggalah sistem
daya tahan badannya menjadi lemah dan orang tersebut jatuh sakit
disebabkan jangkitan penyakit yang berulang-kali. Keadaan ini amat
merbahaya kerana dalam jangka waktu tersebut seseorang yang positif HIV
mungkin akan memindahkan virus yang terselindung ini kepada orang lain
tanpa disedarinya. Jadi satu-satunya cara untuk mendapat kepastian
adalah dengan menjalani Ujian Antibodi HIV terutamanya jika anda rasa
anda telah melakukan aktiviti yang berisiko.
Jangan terlalu yakin jika anda berasa
sihat. Jangkitan HIV tidak menunjukkan tanda sehingga sistem daya tahan
badan anda mulai menjadi lemah. Anda bernasib baik jika ia tiada dalam
tubuh anda. Tapi mungkin juga virus itu sedang membiak dan memusnahkan
sistem daya tahan badan anda sedikit demi sedikit. Anda mungkin tidak
merasakannya, sehingga hampir keseluruhan sistem daya tahan badan anda
dimusnahkan. Dan dalam pada anda tidak menyedari kehadiran HIV itu anda
mungkin telah menjangkiti orang lain.
Pengesahan segera memungkinkan rawatan
segera jika anda disahkan positif HIV. Sebaliknya, alangkah leganya jika
anda disahkan tidak menghidapinya.
Bagaimanakah caranya untuk mengetahui samada saya telah dijangkiti?
- Satu-satunya cara untuk mengetahui samada anda telah dijangkiti virus HIV adalah dengan menjalani Ujian Antibodi HIV.
Bagaimanakah caranya untuk mengetahui samada saya telah dijangkiti?
- Satu-satunya cara untuk mengetahui samada anda telah dijangkiti virus HIV adalah dengan menjalani Ujian Antibodi HIV.
No comments:
Post a Comment